Bertahun lamanya impian ini dipendamkan. Saya begitu mendambakan untuk menjelajahi kawasan tanah tinggi Himalaya yang mendapat jolokan “Bumbung Dunia” (Roof of the World). Ilusi itu kemudiannya menjadi realiti apabila saya dan enam rakan lain berpeluang mengunjungi Nepal, salah sebuah Negara di Himalaya yang begitu terkenal dengan puncak tertinggi di dunia, iaitu Gunung Everestnya (8,850 meter).
Hari Pertama: Perjalanan kami bermula pada satu pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, ibunegara Nepal. Kami menaiki pesawat terbang 18 tempat duduk jenis Twin Otter menuju ke Lukla. Perjalanan tersebut mengambil masa kira-kira 45 minit. Pemandangan melalui udara di kawasan tanah tinggi Himalaya sememangnya hebat. Tanah tinggi yang berteres untuk pertanian, muka bumi gersang yang berombak-ombak dan banjaran gunung yang diselaputi salji memutih merupakan gabungan yang amat memukau.
Kesejukan mencengkam tubuh sebaik sahaja kami keluar dari perut kapalterbang sejurus tiba di landasan terbang Lukla. Lukla (2,840 meter) bermaksud kawasan kambing biri-biri dan merupakan pintu masuk utama ke sebelah Himalaya Nepal melalui laluan udara. Kami kemudiannya singgah di sebuah rumah tumpangan untuk berihat dan bersarapan pagi.
Tepat pukul 12.30 tengahari, kami mula mengorak langkah. Kami menempuhi lorong sempit di celah-celah deretan bangunan rumah kedai, bank dan rumah tumpangan. Kami seterusnya melewati kawasan tanah tinggi yang begitu asing buat kami semua. Di tanah air, kami mengembara melalui denai hutan hujan tropika di mana pandangan terbatas oleh pokok dan tumbuhan yang tumbuh subur. Di sebelah Himalaya Nepal pula, segala-galanya terserlah, tiada hutan tebal menghijau yang melitupi pandangan.
Masa seolah-olah terhenti di situ. Hampir kesemua rumah tiada bekalan elektrik dan air bersih berpaip. Tiada talian telefon dan tiada kenderaan yang lalu lalang, walaupun basikal! Mereka berjalan kaki dari satu tempat ke tempat lain. Barangan serta segala keperluan seperti makanan dan bahan bakar kerosen diangkut oleh porter, atau pun jopke, haiwan kacukan lembu dan yak.
Trek yang kami tempuhi juga melalui jambatan keluli yang merentangi Dudh Kosi, atau Sungai Susu dalam bahasa tempatan. Mungkin alirannya yang berwarna agak keputihan menyebabkan ia diberi nama sedemikian rupa. Kami kemudiannya berhenti di Tado Kosi pada pukul 3 petang untuk berihat dan makan tengahari. Kami kemudiannya menyambung perjalanan sejam kemudian dan tiba di rumah tumpangan di Pakding pada pukul 5.30 petang. Hujan turun dengan agak lebat sejurus kami tiba.
Hari Kedua: Kami meninggalkan Pakding pada pukul 7.15 pagi. Langit cerah dengan cuaca dingin menyambut kami di hari yang baru. Pemandangannya memang hebat. Sungai yang mengalir deras, tebing curam dengan pepohon pain yag tumbuh jarang-jarang dan puncak-puncak yang diselaputi salji memutih menjadi santapan mata yang tidak puas-puas menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan.
Kami menemui ramai pengembara di pertengahan jalan. Mereka datang dari pelbagai pelosok dunia. Mereka datang dari Negara-negara seperti Republik Czech, Azerbaijan, Korea, Rusia dan Jepun. Mereka dan kami mungkin terpisah oleh tembok bahasa dan budaya. Tetapi di Himalaya, kami disatukan oleh minat yang sama. Minat mengembara di kawasan tanah tinggi tersohor di dunia.
Kami kemudiannya berhenti di Mondzo pada pukul 10.00 pagi. Mondzo adalah pintu masuk ke Taman Negara Sagarmatha yang terkenal dengan ikonnya, iaitu Gunung Everest. Sagarmatha juga diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia (World Heritage Site) di bawah kategori alam semulajadi oleh UNESCO (United Nation Educational, Scientific and Cultural Organization). Renjer yang bertugas memeriksa permit setiap pengembara sebelum membenarkan mereka meneruskan perjalanan.
Seterusnya, kami menyambung perjalanan sebelum berhenti di Jorsale setengah jam kemudian untuk berihat dan makan tengahari. Laluan dari Jorsale itu membawa kami melalui lereng gunung dan kemudiannya tebing berbatu Dudh Kosi. Kami juga menyeberangi lima jambatan gantung sebelum tiba di destinasi berikutnya, iaitu tempat bermalam di Namche Bazar (3,440 meter) pada pukul 3.45 petang.
Hari Ketiga: Hari ini kami tidak ke mana-mana, sekadar bersiar-siar di sekitar Namche Bazar. Hari ini merupakan hari untuk aklimatizasi, satu proses untuk penyesuaian badan dengan kawasan tanah tinggi yang berudara nipis. Proses ini penting kerana anatomi badan manusia terjejas di paras yang tinggi. Semakin tinggi seseorang itu berada, semakin rendah ketepuan oksijen dalam atmosfera. Ketepuan oksijen di Namche pada paras 3,440 meter itu hanyalah 65%.
Hampir kesemua pokok yang kami temui di sekitar Namche Bazar berketinggian tidak melebihi 1.5 meter. Pokok-pokok seperti juniper tumbuh perlahan di kawasan tanah tinggi dengan cuaca ekstrem itu. Ia menokok kira-kira 5 sentimeter setahun. Hanya sedikit jumlah spesis flora yang kami temui tumbuh secara semulajadi di kawasan tanah tinggi beriklim ekstrem ini.
Hari Keempat: Kami bermula agak awal hari ini, iaitu pada jam 8 pagi. Laluan yang kami tempuhi curam, berliku, dan tentunya memenatkan. Dua jam kemudian, kami melewati landasan kapalterbang tertinggi di dunia, iaitu Syangboche (3,720 meter). Landasan tersebut dibina pada 1973 untuk kapalterbang lapan tempat duduk buatan Swiss, jenis Pilatus Porter.
Kami disajikan dengan puncak-puncak memukau yang diselaputi salji di Banjaran Himalaya seperti Ama Dablam (6,856 meter), Tamserku (6,608 meter) dan Kangtega (6,685 meter). Seterusnya pada pukul 11.15 pagi, kami tiba di Everest View Hotel. Menurut Guinness Book of World Records, Everest View Hotel merupakan hotel yang dibina pada paras tertinggi di dunia, iaitu 3,963 meter. Pemandangan dari hotel tersebut merupakan antara pemandangan mengujakan yang sukar kami lupakan. Dari situ, tersergam indah ‘gergasi Himalaya’, seperti Everest (8,850 meter), Lhotse (8,114 meter) dan Lotse Shar (8,393 meter).
Kami meneruskan perjalanan selepas berhenti berihat dan makan minum selama sejam. Kami kemudiannya menuruni trek yang sedikit curam melalui hutan pain dan kurang sejam kemudian, kami tiba di rumah tumpangan di Khumjung (3,780 meter). Khumjung juga dikenali sebagai The Hidden Valley (Lembah Nan Tersembunyi). Pada sebelah petangnya pula, kami berkunjung ke kawasan berhampiran, iaitu Khunde (3,840 meter). Khunde mendapat perhatian dunia kerana di situlah terbinanya hospital pertama di Himalaya. Hospital tersebut dibina atas inisiatif salah seorang pendaki pertama yang menakluki Everest, iaitu Edmund Hillary.
Hari Kelima: Hari ini suhunya sedingin 10 darjah Celsius dan kami mula mengorak langkah pada pukul 7.45 pagi. Kami menuruni cerun yang dihiasi indah, antara lainnya dengan pepohon Rhododendron yang berbunga merah dan putih. Kami juga menempuhi hutan pain biru. Kami melewati tempat-tempat seperti Sanasa dan Losasa sebelum berhenti di Phungi Tenga pada pukul 9.45 pagi untuk berihat dan makan minum.
Sejam kemudian, kami menyambung perjalanan melalui trek yang menaik berhampiran sebuah kem tentera yang kecil. Cuaca agak dingin serta jalan yang kami tempuhi kering dan berdebu. Kami turut menemui banyak yak dan jopke yang membawa bebanan. Sesungguhnya, laluan yang kami tempuhi tidak pernah sunyi dari yak serta jopke, porter dan pengembara dari pelbagai Negara.
Pada pukul 1.15 tengahari, kami tiba di Tyangboche (3,860 meter) yang terkenal dengan biara Buddhanya. Agak lama juga kami berhenti di situ sambil menunggu beberapa rakan menghantar berita ke tanah air melalui e-mel. Kami seterusnya bergerak meninggalkan Tyangboche pada pukul 3.00 petang dengan menuruni anak-anak tangga batu yang melalui hutan Rhododendron. 20 minit kemudian, ketika gerimis mula turun, kami tiba di rumah tumpangan di Deboche (3,170 meter).
Hari Keenam: Kami meninggalkan Deboche pada pukul 7.40 pagi dalam suasana yang indah, dengan langit cerah membiru dan cuaca yang dingin. Pokok-pokok pain dan Rhododendron mencantikkan kawasan yang ditempuhi. Kami juga melintasi jambatan keluli yang merentangi Dudh Kosi, sungai yang mendominasi kawasan Himalaya Nepal. Dua jam selepas meninggalkan Deboche, kami tiba di Pangboche (3,930 meter). Kami berhenti sekejap di Pangboche sebelum meneruskan perjalanan dan tiba di Shomare (4,010 meter) pada pukul 11.00 pagi. Agak lama juga kami berhenti di situ untuk berihat dan makan tengahari. Kami menyambung perjalanan sejam kemudian.
Kawasan yang kami tempuhi hampir-hampir gondol kerana di paras melebihi 4,000 meter, tiada pokok berkayu yang mampu tumbuh tegak. Pokok-pokok juniper yang sebelum ini berdiri tegak kini hidup melata dan bertompok-tompok. Manakala itu, seperti mana hari-hari yang pernah kami lewati sebelum ini, hari yang cerah bertukar kepada berkabus dalam sekelip mata. Manakala itu, pada pukul 2.30 petang, dengan badan yang dicengkam keletihan dan kesejukan, kami tiba di rumah tumpangan di Dingboche (4,410 meter).
Hari Ketujuh: Hari ini juga merupakan hari untuk aklimatizasi, seperti mana tatkala kami tiba di Namche Bazar beberapa hari lepas. Saya dan beberapa rakan bersiar-siar di kawasan tanah tinggi berhampiran. Pemandangan tanah tinggi di sebelah Dingboche tidak kurang hebatnya, amat mengujakan dan mengasyikkan. Puncak Ama Dablam yang diselimuti salji tersergam indah di hadapan tempat kami menginap.
Kami kemudiannya duduk berkumpul di tempat penginapan yang mendapat kepanasan dari diang yang menggunakan tahi yak kering sebagai bahan bakar. Bahan ini lumrah digunakan kerana kesukaran mendapatkan kayu api di kawasan tanah tinggi yang tandus ini. Kami duduk berbual-bual kosong, sambil makan minum. Buat pertama kalinya di sepanjang ekspedisi, kami menonton cakra padat video filem cereka melalui kaca televisen yang mendapat kuasa dari bateri bekal kereta.
Pengembaraan yang lama di tanah tinggi ini telah mendatangkan musibah kepada beberapa rakan. Sebahagian dari kami diserang Mabuk Gunung Akut (Acute Mountain Sickness, AMS). Kami terpaksa mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan masalah tersebut seperti berihat, minum air yang banyak dan makan pil Diamox (Acetazolamide). AMS yang tidak dirawat boleh membawa kepada HAPE (High Altitude Pulmonary Oedema) dan HACE (High Altitude Cerebral Oedema). Kedua-duanya boleh membawa maut.
Sup bawang putih merupakan kaedah tradisional masyarakat setempat yang dikatakan boleh membantu mengurangkan simtom Mabuk Gunung Akut (AMS) seperti pening kepala, mual dan kurang selera makan. Bawang putih banyak ditanam di kawasan yang kami lewati. Selain dari bawang putih, kentang juga ditanam secara meluas kerana menjadi salah satu sajian utama.
Hari Kelapan: Kami kerap menggigil kesejukan dan mentari yang memancar terik kemudiannya memberikan haba yang amat kami nanti-nantikan. Tepat pukul 7.30 pagi, kami memulakan perjalanan melalui laluan di kawasan yang mencanak dan memenatkan. Walaupun begitu, hati begitu teruja tatkala melihat keindahan puncak-puncak bersalji dan berais seperti Cholatse (6,335 meter), Pumo Ri (7,165 meter) dan Lobuche East (6,119 meter).
Laluan kemudiannya beransur-ansur mudah dengan cuaca yang agak berangin. Pukul 9.45 pagi, kami berhenti rihat di Dughla (4,620 meter). Turut bersama kami adalah pengembara dari Great Britain. Kami berada di situ agak lama juga sebelum menyambung perjalanan pada pukul 11.30 pagi.
Perjalanan kemudiannnya sukar kerana menempuhi kawasan yang mencanak. Laluan tersebut beransur-ansur membawa kami ke kawasan dataran tanah tinggi. Terdapat memorial untuk memperingati mereka yang ‘gugur’ di kawasan Himalaya yang serba mencabar itu. Antaranya termasuklah Trevor Eric Stokol, seorang warga Amerika berketurunan Yahudi yang terbunuh beberapa tahun yang lalu ketika cuba menakluki Everest.
Kami juga mula menempuh kawasan yang bersalji. Di pertengahan jalan, kami tersua dengan Vincent Loh, yang kemudiannya mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia keenam dan tertua berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest. Butiran-butiran salji kemudiannya turun. Bagi sesiapa yang datang dari Negara panas, ianya merupakan pengalaman yang cukup mengujakan dan mengembirakan. Seterusnya pada pukul 2.00 petang, kami tiba di Lobuche (4,910 meter) dalam keadaan letih dan menggigil kesejukan.
Saya sempat berbual-bual dengan seorang gadis Barat ketika menunggu makan malam di tempat kami menginap di Lobuche. Beliau mengatakan bahawa beliau berasal dari Afrika Selatan dan datang mengembara di sebelah Himalaya Nepal bersama ayahnya yang lanjut usia. Saya juga sempat bertukar-tukar khabar dengan dua juruterbang yang masing-masing berasal dari Australia dan Argentina.

























